PN tidak gentar dengan Muda

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KULAI - Perikatan Nasional (PN) tidak gentar dengan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Muda yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu tidak mempunyai struktur di peringkat bahagian mahupun cawangan menyebabkan parti terbabit dilihat tidak mempunyai hala tuju.

"Muda terlalu muda, Syed Saddiq itu macam anak saya. Dulu dia dalam Armada Bersatu, sebagai sebuah negara yang demokrasi, itu hak dia tubuhkan Muda.

"Namun dia tiada ahli yang ramai, sedikit sahaja cawangannya, tidak tahulah di mana bahagian partinya. Tidak berstruktur parti baharu ini, tetapi tidak mengapa, dia berani hendak menawarkan muka baharu bertanding pada PRN Johor kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ramah Mesra Warga Felda di Felda Taib Andak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, terserah kepada pengundi untuk menilai Muda sama ada layak atau sebaliknya pada 12 Mac depan memandangkan parti itu masih baharu dan tiada matlamat yang jelas.

Pada Isnin lalu, Syed Saddiq menyatakan Muda tidak akan meletakkan calon di kerusi yang akan ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam PRN Johor.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, langkah tersebut bagi mengelakkan berlaku pertembungan kerusi sekali gus menghormati parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Muda hanya akan bertanding di kerusi yang sebelum ini dimenangi UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).