Demi tunai hajat Mohd Aqil

Nordin mendukung Mohd Aqil (dua dari kanan) bersama ahli kelab RC Temerloh di Dataran Temerloh.
Nordin mendukung Mohd Aqil (dua dari kanan) bersama ahli kelab RC Temerloh di Dataran Temerloh.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bapa sanggup memandu sejauh 60 kilometer (km) dari Felda Ulu Jempol, Maran ke dataran Temerloh demi menunaikan hajat anaknya, Mohd Aqil Aqmar Nordin, 4, menyaksikan pertunjukan kereta lumba kawalan jauh tercapai.

Bapanya, Nordin Jasni, 39, mengakui sanggup memenuhi permintaan untuk menggembirakan hati anaknya yang menderita penyakit genetik dikatakan tiada penawar, juvenile hyline fibromatosis.

Menurutnya, Mohd Aqil mula menunjukkan minat terhadap perlumbaan kawalan jauh selepas melihat jirannya di Felda Ulu Jempol sering bermain peralatan itu selain kerap menonton menerusi Youtube.

“Bermula dari situ Mohd Aqil berkali-kali mengajak saya melihat pertunjukan kereta lumba kawalan jauh dan teringin bermain peralatan itu.

“Kebetulan saya mengenali salah seorang ahli Kelab RC Temerloh dan memaklumkan hasrat anak saya. Mereka bersetuju melakukan pertunjukan permainan pada hujung minggu lalu,” katanya pada Selasa.

Nordin memberitahu, Mohd Aqil sangat teruja apabila diberi peluang memegang kereta mainan tersebut.

Nordin (kiri) sanggup memandu sejauh 60km dari Felda Ulu Jempol demi menunaikan impian Mohd Aqil untuk melihat pertunjukan kereta kawalan jauh di Dataran Temerloh.
Nordin (kiri) sanggup memandu sejauh 60km dari Felda Ulu Jempol demi menunaikan impian Mohd Aqil untuk melihat pertunjukan kereta kawalan jauh di Dataran Temerloh.

Ujarnya, ahli kelab RC Temerloh turut memberi tunjuk ajar kepada Mohd Aqil untuk bermain kereta lumba itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Aqil disahkan menghidap penyakit juvenile hyline fibromatosis oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika usia tiga bulan.

Perubahan fizikal kanak-kanak itu bermula di bahagian jari tangan dan kaki yang membengkok ketika termasuk tulang mengeras dan kejang.

Sementara itu, Pengerusi kelab RC Temerloh, Khairul Mohd Azuar Ibrahim berkata, pertunjukan kereta lumba kawalan jauh diadakan pada Ahad bagi memenuhi impian Mohd Aqil,

“Saya bersama 50 orang ahli kelab ini sepakat mengadakan pertunjukan itu supaya kanak-kanak ini dapat melihat lebih dekat.

"Pertunjukan diadakan hampir tiga jam dan saya lihat Mohd Aqil teruja mendengar bunyi kereta mainan seperti perlumbaan sebenar di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor serta berpeluang melihat, menyentuh dan cuba bermain kereta itu.

“Kami berpuas hati kerana dapat melayani kanak-kanak OKU ini dan ia merupakan tanggungjawab sosial kelab ini menyantuni serta menceriakan mereka yang memerlukan,” katanya.