Sila log masuk terlebih dahulu.

Strategi kurangkan perokok di Malaysia

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

DALAM kita memberi tumpuan terhadap pandemik, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak melupakan satu lagi isu kesihatan melibatkan rakyat Malaysia iaitu rokok.

Ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland baru-baru ini, Khairy menyatakan hasrat Malaysia untuk menguatkuasakan larangan jualan rokok dan semua jenis produk tembakau terhadap individu yang lahir selepas tahun 2005.

Beliau berkata, larangan itu adalah untuk menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) dan berharap undang-undang tersebut diluluskan tahun ini.

Kenyataan Khairy itu juga sebagai kesinambungan terhadap kenyataan beliau menerusi agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) pada 2017 mengenai dasar mengharamkan rokok di Malaysia.

Ketika itu, Khairy merupakan Menteri Belia dan Sukan.

Kenyataan Khairy itu bukanlah cadangan popular. Sudah tentu golongan perokok tidak suka dengan cadangan tersebut.

Bagaimanapun, melihat maklum balas orang ramai termasuk netizen di laman sosial, masih ramai yang menyokongnya.

Ahli Parlimen Rembau itu menyedari bahawa untuk menghentikan tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia bukan mudah.

Artikel Berkaitan:

Kerana itu, beliau mengubah strategi dengan menguatkuasakan larangan bermula usia muda. Namun, hasrat Menteri Kesihatan itu sukar menjadi kenyataan sekiranya tiada kerjasama daripada semua pihak.

Bermula 1 Januari 2019, kerajaan menguatkuasakan peraturan larangan merokok dan vape di kedai makan atau restoran yang diwarta mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Namun, selepas tiga tahun, peraturan itu diambil ringan. Orang awam dengan selamba merokok di kedai-kedai makan dan restoran tanpa menghormati pelanggan lain yang tidak merokok.

Lebih ketara sejak pandemik, kebanyakan pemilik kedai makan lebih menumpukan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berbanding larangan merokok.

Diharap dengan kenyataan tegas Khairy terhadap isu rokok, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempertingkatkan lagi penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam.