HDC iktiraf 16 organisasi atas sumbangan kepada industri halal

Mohamed Azmin menyampaikan anugerah kepada Omnimal Sdn Bhd semasa Majlis WHEA 2021.
Mohamed Azmin menyampaikan anugerah kepada Omnimal Sdn Bhd semasa Majlis WHEA 2021.
A
A
A

SHAH ALAM - Halal Development Corporation Berhad (HDC) menganugerahkan 16 organisasi atas sumbangan mereka dalam pertumbuhan industri halal semasa Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA 2021).

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pencapaian ini merupakan sejarah penting bagi organisasi masing-masing.

"Sebahagian daripada mereka adalah jenama terkenal yang telah lama berada dalam industri masing-masing, kekal berdaya tahan semasa wabak Covid-19 dan mematuhi proses piawai halal yang ketat dalam operasi mereka.

"Secara tidak langsung ini mempamerkan pentingnya halal dalam perniagaan untuk mendapatkan keyakinan pelanggan dan sokongan pasaran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Acara tahunan berprestij ini dahulunya dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Persidangan Halal Sedunia yang dianjurkan untuk mengiktiraf, menghargai sumbangan dan pencapaian cemerlang oleh pemain industri halal negara.

Sehingga kini, lebih 200 pengiktirafan telah diberikan kepada individu, organisasi dan syarikat.

WHEA 2021 ini disampaikan oleh Mohamed Azmin dan dua kategori teratas adalah Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal dan Anugerah Kecemerlangan PKS Usahawan Terbaik Halal.

Bagi kategori organisasi, anugerah yang disediakan adalah Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Antarabangsa Halal; Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Halal; Anugerah Kecemerlangan Inovasi Halal; Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal; Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal; Anugerah Kecemerlangan Jenama Terkemuka Halal dan Anugerah Kecemerlangan Kewangan Halal.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis anugerah ini diumumkan kerjasama HDC dan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (AUSTRADE) untuk menjadi tuan rumah dan penganjuran Siri Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2022 di Melbourne, Australia yang dijadual diadakan pada Jun 2022.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari dan Penolong Pesuruhjaya Tinggi Australia, Hannah Birdsey yang mewakili Pesuruhjaya Tingginya, H.E Dr Justin Lee.

Dalam pada itu, Hairol berkat,a kerjasama ini bukan sahaja tertakluk kepada perkongsian pandangan dan pasaran.

"Yang penting, ia akan merangkumi projek dan usaha sama bagi meningkatkan perdagangan, pertukaran pengetahuan kajian pasaran, pelaburan di taman halal, latihan dan perundingan serta penganjuran bersama acara berkaitan halal," katanya.