Kesinambungan projek pembangunan belia tarik orang muda mengundi

Datuk Onn Hafiz Ghazi
Datuk Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Projek- projek pembangunan belia yang dirancang kerajaan diyakini berupaya menarik golongan muda untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengundi muda sudah pastinya mahu kesinambungan projek-projek yang dirancang untuk mereka sebelum ini diteruskan.

Beliau yakin perkara itu akan menjadi tarikan utama pengundi muda untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Mac depan.

“Ketika kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, pelbagai inisiatif untuk orang muda telah dilaksanakan dan program-program dibuat mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita mahukan perancangan jangka masa panjang. Dengan perancangan yang telah buat, ia memerlukan kesinambungan daripada kerajaan selepas ini.

“Kita (Barisan Nasional) jika dipilih akan mengekalkan kesinambungan projek-projek ini. Sebagai contoh, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura apabila tergendala, siapa yang rugi?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir Majlis Ramah Mesra Jabatan di bawah portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan Johor di sebuah restoran di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai kesediaan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Onn Hafiz memberitahu, segalanya terserah kepada keputusan pimpinan parti.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak tahu lagi (bertanding), semua terserah kepada pucuk pimpinan dan saya tak mahu mendahului. Saya berkhidmat di sana (Layang-Layang) selama empat tahun.

"Apa pun, saya harap pucuk pimpinan dapat buat keputusan yang baik, saya akur apa juga keputusan.

"Kalau dicalonkan saya harap rakyat Johor dapat memberikan peluang (kepada BN) untuk kita dapatkan mandat dan sama-sama bangunkan negeri ini,” katanya.