Sains serbu premis di tapak pembinaan di Seremban 2

Sebuah premis di tapak pembinaan yang disyaki melakukan penyambungan air secara haram. - Foto ihsan Sains
Sebuah premis di tapak pembinaan yang disyaki melakukan penyambungan air secara haram. - Foto ihsan Sains
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Sebuah premis di tapak pembinaan di Seremban 2 di sini yang disyaki melakukan penyambungan air secara haram diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dalam satu operasi pada Isnin.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dari Unit Penguatkuasaan Sains serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada jam 7 malam.

"Siasatan di tapak mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC) bersaiz 20mm tanpa melalui sebarang meter untuk kegiatan pembinaan tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air digunakan adalah air terawat milik Sains.

"Pihak SPAN menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya.

Tambahnya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil dan domestik.

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982. Setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan oleh pihak Sains," katanya.

Operasi serbuan diketuai Pegawai SPAN, Rumaizie Aziz dari Bahagian Penguatkuasaan SPAN Ibu Pejabat dan Unit Penguatkuasaan Kecurian Air Sains.