Perhebat promosi pelancongan di Melaka

Adly (empat,kanan) bergambar di belakang pokok krismas ketika Majlis Pencahayaan Pokok Krismas di Hotel Equatorial, di Banda Hilir, di sini, tadi.
Adly (empat,kanan) bergambar di belakang pokok krismas ketika Majlis Pencahayaan Pokok Krismas di Hotel Equatorial, di Banda Hilir, di sini, tadi.
A
A
A
MELAKA TENGAH - Kerajaan Negeri menggalakkan pemain industri memperhebatkan promosi produk pelancongan mereka dalam merancakkan industri itu di Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, golongan itu terutama pengusaha pelancongan, perlu merebut peluang dan peka dengan hari-hari penting termasuk cuti persekolahan dan cuti umum perayaan dengan menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik, sama ada baharu mahupun lama serta yang dapat memenuhi cita rasa pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancongan ke Melaka setiap tahun.

Menurutnya, ia penting diberikan fokus utama memandangkan sektor pelancongan menyumbangkan 30 peratus ekonomi negeri selain terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan agar Melaka sentiasa bersedia dari pelbagai sudut dalam melangkah ke Tahun Melawat Melaka tahun depan.

"Kebiasaan pada musim-musim perayaan khususnya Disember, kadar pelancongan mencatatkan peningkatan berganda termasuk faktor cuti sekolah yang menyumbang kepada penambahan itu.

"Jadi saya galakkan semua pihak termasuk pemain industri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersedia untuk meningkatkan perkhidmatan dengan memberikan yang terbaik, walaupun dalam keadaan bilangan pelancong yang ramai dan bertambah," katanya.
Artikel Berkaitan:


Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pencahayaan Pokok Krismas di Hotel Equatorial, di Banda Hilir, di sini, tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Hotel Equatorial, Datuk Syed A. Rahman Alkaff dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sunga dan Pantai (PPSPM), Azlan Abidin.

Dalam pada itu, Adly turut berharap tempat penginapan dan hotel-hotel di negeri dapat mengambil inisiatif memeriahkan suasana cuti sekolah ini dan kedatangan Hari Natal dengan dekorasi dan aktiviti kreatif seperti Hotel Equatorial yang membina pokok krismas sepanjang 12 kaki serta dihiasi lampu.