Terengganu kaji dasar perumahan baharu

Alias (empat, kiri) bersama peserta Bengkel Perumahan yang terdiri dalam kalangan pertubuhan dan pemain industri hartanah di Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan mengkaji dasar pembangunan perumahan baharu bagi membolehkan lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) di bina di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, kajian itu dijalankan selepas pihaknya mendapati dasar pembangunan perumahan sedia ada merugikan dan tidak memberikan pulangan kepada pelabur.

"Keadaan ini menyebabkan tiada pelabur (swasta) yang sanggup untuk membina RMM dalam skala besar di Terengganu kerana dasar kita yang sedia ada agak tidak 'mesra' dan merugikan mereka.

"Sebagai contoh, RMM jenis A bagi golongan B40 dijual pada harga RM68,000 hingga RM70,000 sedangkan kos pembinaan perlu ditanggung pelabur ialah dari RM120,000 hingga RM140,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Perumahan di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu sudah tentu merugikan pelabur terutama swasta dan sehubungan itu, dasar baharu akan dirangka bagi mengkaji semula dasar perumahan kerajaan negeri yang digubal sejak Julai 2017.

"Kewangan kerajaan semata-mata memang tak mampu untuk menampung kos pembinaan RMM yang mendapat permintaan yang tinggi, oleh itu, kita perlu kepada pelabur-pelabur swasta.

"Jadi, kita akan kaji dasar baharu bagi membolehkan kita menarik lebih ramai pelabur seterusnya mencapai sasaran kita untuk membina 5,000 unit RMM dalam tempoh setahun," katanya.

Dr Alias berkata, perkara itu perlu dilihat secara holistik supaya mampu mencapai sasaran 20,000 unit RMM bagi tempoh sepenggal ini.