Kerajaan digesa pinda perlembagaan babit kuasa mahkamah syariah

Musa Awang
Musa Awang
A
A
A

SHAH ALAM- Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa agar kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan jangka panjang untuk meminda Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, ia sekali gus membolehkan kerajaan negeri menggubal undang-undang untuk memberikan kuasa kepada mahkamah syariah negeri melaksanakan semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat.

Katanya, ia merangkumi keputusan Majlis Agama Islam Negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri-negeri, termasuk oleh jawatankuasa fatwa negeri-negeri.

“PGSM berpandangan bahawa apa-apa semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri sewajarnya dibuat oleh mahkamah syariah.

“Ia adalah forum yang lebih sesuai dan kompeten kerana melibatkan pihak-pihak di kalangan orang beragama Islam dan berpaksikan kepada hukum syarak.

“Bagi melaksanakan maksud pindaan tersebut, PGSM menggesa kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Isnin, dalam kes Sisters In Islam (SIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal.

Seksyen 66A sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen tersebut.

Pada 21 Januari 2020, SIS Forum memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.