'Baru lima minit parkir, kereta dihempap pokok'

Mohd Zin (kiri) bersama Mohd Aminudin melihat keadaan keretanya yang rosak.
Mohd Zin (kiri) bersama Mohd Aminudin melihat keadaan keretanya yang rosak.
A
A
A

TAMPIN - Baru lima minit diparkir di garaj, sebuah kereta jenis Proton Wira rosak apabila dihempap sebuah pokok dalam kejadian hujan lebat dan ribut di gugusan Felda Jelai, Gemas di sini petang Ahad.

Mangsa, Mohd Aminudin Zaki, 42, berkata, kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu turut mengakibatkan bumbung rumahnya di Felda Jelai 1 diterbangkan angin.

"Saya baru parkir kereta dalam garaj selepas pulang membeli barang dapur di kedai. Lima minit kemudian pokok berkenaan tumbang mengenai garaj dan kereta.

"Mujur saya sudah masuk ke dalam rumah dan berkumpul dengan ahli keluarga lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Bapa mentuanya, Mohd Zin Mansor, 68, berkata, ketika kejadian dia bersama tujuh ahli keluarga termasuk empat cucu berada di rumah apabila terdengar bunyi kuat dari bahagian atas rumahnya.

"Dalam tempoh 30 minit kejadian itu, saya lihat sebahagian atap di bahagian beranda rumah tercabut dan diterbangkan angin kuat," katanya.

Sementara itu, jirannya, Othman Md Noor, 74, berkata, kejadian kejadian dia bersama isteri, Juriah Abdillah, 76, dan seorang anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Mohd Norhalis, 32, berada dalam rumah.

"Petir sambar menyambar dengan angin kencang menyebabkan atap rumah saya terbang, nampak langit luas.

Artikel Berkaitan:

"Kami hanya mampu berteduh dekat dapur berhampiran stor kerana kawasan itu sahaja yang berbumbung," katanya.

Othman melihat keadaan bumbung rumahnya yang telah diterbangkan angin.
Othman melihat keadaan bumbung rumahnya yang telah diterbangkan angin.

Kata Othman, sekitar jam 9 malam, pihak pengurusan Felda datang meminta mereka berpindah di Kuaters Felda Jelai 1 selepas mendapati kediaman rosak.

"Mujur kejadian ini tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kira-kira 30 rumah membabitkan lebih 130 penduduk di Felda Jelai 1 hingga 4 dekat Gemas mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut dalam kejadian jam 5.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd.Farid Abu Bakar berkata, kejadian itu mengakibatkan bumbung rumah diterbangkan angin selain terdapat kenderaan dihempap pokok.

"Setakat tiada kecederaan dilaporkan namun hanya empat orang daripada sebuah keluarga ditempatkan di Kuarters Felda Jelai 1 selepas rumah mereka rosak teruk," katanya.