Kenang jasa Muhyiddin lupuskan hutang peneroka

Wan Saiful ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, pada malam Ahad.
Wan Saiful ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, pada malam Ahad.
A
A
A

KULAI - Satu daripada sumbangan terbesar Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri adalah melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada tahun lalu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan diambil kerajaan Persekutuan pimpinan Presiden Bersatu itu adalah bagi meringankan beban peneroka.

Menurut beliau, semasa Barisan Nasional (BN) memerintah negara, perkara tersebut tidak terfikir dan tidak mampu dilakukan malah sehingga gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Kita kena beritahu semasa Felda di bawah pemerintahan UMNO dan BN dulu, mereka terpaksa tanggung hutang yang amat tinggi.

"Semasa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dimansuhkan hutang warga Felda bernilai ratusan ribu ringgit untuk setiap keluarga.

"Ini jasa-jasa yang ditinggalkan kerajaan semasa dipimpin Tan Sri Muhyiddin," katanya ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, dekat sini pada malam Ahad.

Wan Saiful (tengah) hadir dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, pada malam Ahad.
Wan Saiful (tengah) hadir dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai, pada malam Ahad.

Pada 7 Julai 2021, Muhyiddin semasa menjadi menjadi Perdana Menteri mengumumkan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Artikel Berkaitan:

Wan Saiful berkata, jasa Muhyiddin itu perlu diketahui rakyat Johor terutama warga Felda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, usaha dilakukan Ahli Parlimen Pagoh itu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah gabungan politik yang prihatin dengan masalah rakyat dan sumbangan tersebut tidak dapat dinafikan mana-mana pihak.

"Ini bukan retorik, ini bukan sembang kosong, ini fakta. Kita yang buat untuk bantu warga Felda. Apa yang dilakukan ini tidak dapat dijawab oleh UMNO. Jadi ini perlu diketahui dan disampaikan kepada rakyat.

"Bila Pakatan Harapan (PH) ambil alih pentadbiran di Putrajaya, tiada 'political will' ditunjukkan PH untuk bantu warga Felda. Ini bukan saya kata tapi rakan pimpinan daripada Parti Amanah Rakyat (Amanah) akui sendiri kata PH tak sungguh-sungguh bantu warga Felda," katanya.

Namun apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau berkata, tidak sampai tiga bulan pertama cuba menyelesaikan hutang peneroka termasuk masalah lain yang dihadapi Felda ketika itu.