KPM belum buat keputusan pelaksanaan PT3

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya sedang meneliti pendekatan paling sesuai diambil mengambil kira tahap penguasaan murid.

"Kita belum buat keputusan PT3," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Sekolahku Sejahtera di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pemakluman Lembaga Peperiksaan berhubung perkara itu yang akan diadakan semula pada tahun ini.

Berdasarkan pemakluman yang dimuat naik oleh lembaga itu di laman Facebook pada Sabtu lalu, pentaksiran PT3 dilaksanakan pada Oktober hingga November selari dengan pelaksanaan PT3 yang ditangguhkan selama dua tahun sejak 2020 akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun pemakluman tersebut telah ditarik balik.

Pada perkembangan lain, Mohd Radzi berkata, KPM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penggunaan fasiliti sekolah menengah sebagai pusat pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Sebelum ini perbincangan telah dibuat dan perbincangan lanjut esok (Selasa)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, KPM bekerja rapat dengan SPR bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.

"Jika terpaksa guna, ada pendekatan yang akan diambil, namun begitu, kita cuba elakkan kerana tempoh masa yang singkat.

"Ada hari Ahad sahaja untuk guru sekolah buat persediaan dan susur atur meja ini telah lama dibuat.Untuk dirombak dan disusun semula dalam masa satu hari adalah suatu perkara bukan mudah kerana terdapat cara dan peraturannya," katanya.

Sebanyak 151 sekolah dijadikan sebagai pusat pengundian pada PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini manakala peperiksaan SPM pula berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.