Pemilihan Streram bukti PKR tidak taksub perkauman

Wan Fauzuldin
A
A

KUANTAN - Pencalonan Dr S Streram sebagai calon PH di PRK Dun Rantau, Negeri Sembilan membuktikan PKR merupakan sebuah parti yang tidak taksub kepada perkauman.

Naib PKR Ketua Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata isu kaum tidak relevan dan selama ini PKR merupakan sebuah parti yang sering bertolak ansur dalam membuat keputusan adil.

Menurutnya, pihaknya merasakan tidak adil untuk terus membolot semua tempat bagi menempatkan calon-calon dari kaum Melayu sahaja.

"Pada PRU14, calonnya adalah seorang dari kaum India iaitu Datuk Danyal (PKR), kemudiannya mengosongkan kerusi tersebut untuk beri laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim di dalam PRK baru-baru ini.

"Beliau (Danyal) sanggup berkorban untuk mengangkat Anwar sebagai Ahli Parlimen dengan mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada calon Melayu untuk bertanding di situ," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Wan Fauzuldin berkata, pihaknya yakin PH mampu menyaingi BN pada PRK DUN Rantau biarpun berhadapan cabaran hebat. Menurutnya, pemilihan Dr Streram juga merupakan pilihan yang tepat kerana sebelum ini beliau telah dianiaya dengan pembatalan pencalonannya pada PRU14 yang lalu.

"Bagi saya ini merupakan keputusan yang adil atas prinsip Dr Streram sebelum ini yang begitu kecewa tidak dapat bertanding di DUN Rantau akibat dianiaya.

"Beliau juga telah bersusah payah memperjuangkan haknya untuk memfailkan petisyen di mahkamah dan menang di dalam tuntutannya, maka wajarlah PKR mencalonkan beliau untuk bertanding di PRK Rantau kali ini," katanya.