Anwar harap Muda bersama PH dalam PRN Johor

Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulai Spring Resort, Kulai, pada malam Ahad.
Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulai Spring Resort, Kulai, pada malam Ahad.
A
A
A

KULAI - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diharap terus berada dalam blok Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerjasama politik itu akan terjalin dan Muda akan memberi maklum balas positif walaupun sebelum ini berlaku masalah pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sekiranya Muda mengikut semangat manifesto yang sama dan selesaikan masalah rundingan, saya tidak ada masalah untuk pastikan calon-calon Muda turut menang pada PRN Johor.

"Kita tunggu respons mereka dan saya percaya, insya-ALLAH respons itu akan positif," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk PRN Johor di Pulai Spring Resort dekat sini pada malam Ahad.

Turut hadir, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh.

Pada Sabtu, Syed Ibrahim menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandingi.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, memang ada rundingan awal tentang pembahagian kerusi membabitkan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Belum pernah seawal ini kita mencapai kata sepakat membabitkan tiga parti dalam soal pembahagian kerusi, di Johor ini adalah yang pertama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berharap, hubungan baik itu dapat diteruskan dalam meneruskan perjuangan PH sebelum melakar kemenangan dalam PRN Johor.