[VIDEO] Mahu letak calon Muda di kerusi PKR, Syed Saddiq angkuh

Chang Lih Kang
Chang Lih Kang
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan sebagai angkuh berikutan mahu meletakkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kerusi yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, tindakan Ahli Parlimen Muar itu tidak menggambarkan rundingan malah lebih kepada penyerahan kerusi kepada Muda.

"Rundingan melibatkan dua pihak. Tapi kalau aku tak bagi kerusi yang kau nak, salah aku; kerusi yang aku tawarkan kau tak nak, salah aku juga. Itu bukan rundingan, itu namanya serahan," katanya menerusi laman Twitter pada Jumaat.

Terdahulu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Syed Saddiq, beliau berkata, Muda akan meletakkan keputusan di tangan rakyat Johor sekiranya berlaku bertindihan kerusi Muda dan PKR pada PRN akan datang.

Sementara iti, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, tindakan Syed Saddiq mencerminkan Muda telah bersedia menamatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Beliau tidak perlu mempamerkan langkah berbaur ugutan kepada usaha rundingan dengan PKR.

"Tindakan tidak matang dengan mengugut untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi PKR bermaksud Muda telah bersedia untuk menamatkan kerjasama dengan PH.

"Perlu diingatkan bahawa PH bergerak dalam satu koalisi gabungan secara bersama dan menolak PKR bermaksud Muda menolak PH," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Syed Badli Shah berkata, umum mengetahui PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada Muda untuk dipertimbangkan sementara enam lagi telah dipersetujui bersama Dap dan Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Justeru katanya, jika Muda berhasrat untuk melanggar kerusi PKR, maka wajarlah PH menarik balik kerusi yang telah dipersetujui dengan Muda sebelum ini.

"Saya berpandangan Muda perlu bermuhasabah diri dengan memperhalusi semula tawaran yang telah dikemukakan secara berhemah untuk mengelakkan pertindihan dengan PH," ujarnya.