MBN Perak serius perangi dadah

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan JAIPk menyebut golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merupakan kategori penagih dadah tertinggi. (Kiri: Wan Mohammad Afiq, Kanan: Muhammad Naim Al-Amin)
Teks khutbah Jumaat dikeluarkan JAIPk menyebut golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merupakan kategori penagih dadah tertinggi. (Kiri: Wan Mohammad Afiq, Kanan: Muhammad Naim Al-Amin)
A
A
A

IPOH - Majlis Belia Negeri (MBN) Perak memandang serius masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia khususnya remaja di negeri ini yang perlu dibendung segera.

Timbalan Presidennya, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah berkata, sehubungan itu, MBN Perak akan bertindak secara sistematik dan tersusun dalam memberi kesedaran kepada golongan belia di negeri ini agar tidak terjebak dengan masalah penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, pihaknya bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak juga akan berusaha menggerakkan Rumah Komuniti AADK (CCH) yang akan memberikan bantuan kepada mereka yang menghadapi masalah dadah dengan kendalian sepenuhnya komuniti setempat melibatkan individu pakar.

"Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia amatlah serius khususnya di negeri Perak dan seperti yang sedia kita tahu penggunaan dadah dalam kalangan belia dan remaja bukanlah asing.

"Oleh itu, semua pihak sama ada institusi keluarga, pendidikan, komuniti, sektor kerajaan atau swasta dan khususnya MBN Perak perlu berganding bahu agar gejala ini tidak terus merebak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Wan Mohammad Afiq berkata, MBN Perak bersama pertubuhan belia di negeri ini akan berusaha bersama-sama membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan orang muda melalui strategi pencegahan menerusi peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, aktiviti kesukarelawan dan program pencegahan berfokus juga boleh dijalankan pertubuhan belia sedia ada bagi membantu usaha membanteras najis dadah tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak, Muhammad Naim Al-Amin Saharudin berkata, kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia masih di tahap boleh dikawal.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program kolaborasi bersama agensi, kempen kesedaran dan melaksanakan pendekatan berkawan dan melakukan aktiviti gaya hidup sihat boleh dilakukan dalam membendung gejala tersebut.

"Saya berpandangan, kerajaan perlu mengambil serius dalam membelanjakan peruntukan untuk program yang bertujuan mengekang masalah dadah.

"Pada masa sama, masyarakat perlu memberi peluang kepada mereka yang terjebak di dalam masalah ini. Peranan ibu bapa dan keluarga dalam mewujudkan suasana kondusif antara faktor permulaan pencegahan masalah dadah ini," katanya.

Pada 18 Februari lalu, teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk Dadah: Pemusnah Negara Bangsa dan dibaca di seluruh masjid negeri ini menyebut golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merupakan kategori penagih dadah tertinggi iaitu 65 peratus daripada 53,000 individu yang ditangkap.