Pusat informasi buat usahawan industri buluh

Zuraida (tengah) melakukan lawatan sekitar Tadom Hill sempena Program Lawatan Kerja dan Majlis MoU Penubuhan Bamboo One Stop Centre antara MTIB, MTC dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd di Tadom Hill, Banting pada Sabtu. - Foto Bernama
Zuraida (tengah) melakukan lawatan sekitar Tadom Hill sempena Program Lawatan Kerja dan Majlis MoU Penubuhan Bamboo One Stop Centre antara MTIB, MTC dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd di Tadom Hill, Banting pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengambil inisiatif menubuhkan Bamboo One-Stop Centre yang bakal memainkan peranan sebagai pusat maklumat dan rujukan kepada usahawan buluh di negara ini merangkumi semua rantaian nilai industri itu.

Tadom Hill Resort di Banting, Selangor dipilih sebagai tapak pembinaan Bamboo One-Stop Centre kerana lokasinya yang strategik dan merupakan pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 45 hektar yang bertemakan taman buluh serta dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan.

Selain ekopelancongan, Tadom Hill juga telah mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pusat rujukan tersebut akan berperanan sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia.

“Kementerian yakin dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan berterusan, industri buluh berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan.

“Seterusnya menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara.

“Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan dalam mentransformasikan industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi dan lestari, sebagai antara fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Bamboo One-Stop Centre antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zuraida, Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 70 spesies buluh di mana 45 daripadanya merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan.

"Sehingga kini, terdapat seramai 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh dan kraftangan," katanya.