Komponen PN bertanding bawah satu logo bukti kesepakatan

Hoe Chai (tengah) bersama Oh Tong (kiri) dan Kok Chee ketika sidang akhbar di Pejabat Gerakan di Taman Jaya, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
Hoe Chai (tengah) bersama Oh Tong (kiri) dan Kok Chee ketika sidang akhbar di Pejabat Gerakan di Taman Jaya, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Langkah semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo yang sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan keberanian, keyakinan dan kesepakatan gabungan tersebut.

Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lou Hoe Chai berkata, pendekatan itu menunjukkan Gerakan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yakin dengan penerimaan pengundi terhadap mereka.

Menurutnya, bagi Gerakan ini adalah kali kedua parti tersebut bertanding di bawah logo PN selepas PRN Melaka pada November tahun lalu.

"Kita bersetuju untuk terus menggunakan logo PN pada PRN kali ini. Langkah ini menjadikan hubungan parti komponen lebih erat dan saling memahami cara kerja masing-masing.

"Kita tidak sama dengan PH (Pakatan Harapan) apabila PKR (Parti Keadilan Rakyat) ingin menggunakan logo parti mereka sendiri sedangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Pengerusi PH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Pejabat Gerakan di Taman Jaya, Skudai di sini pada Sebtu.

Hadir sama, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Johor, Senator Datuk Teo Kok Chee.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala dua sekutunya dalam PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo gabungan pembangkang itu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata, pihaknya bersetuju melantik Kok Chee sebagai Pengerusi Jentera PRN Negeri Johor dan pejabat itu sebagai bilik parti Gerakan.

Katanya, semua pemimpin Gerakan di setiap negeri akan berkampung di negeri ini bagi membantu jentera PH berkempen dan memberi sokongan bagi memastikan kemenangan pada PRN Johor.