Arsenal empat teratas atau Arteta gagal

Mikel Arteta - Foto AFP
Mikel Arteta - Foto AFP
A
A
A

"ARSENAL perlu layak ke Liga Juara-Juara musim depan jika tidak Mikel Arteta disifatkan gagal di Emirates."

Itu pandangan bekas kapten The Gunners, William Gallas, yang menegaskan pengakhiran kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah syarat minimum untuk pengendali kelab London tersebut.

Malah menurut Gallas, beliau mahu Arteta memanfaatkan persembahan longlai pesaing terdekat untuk Arsenal memperkukuhkan kedudukan bagi mencapai matlamat musim ini.

"Jika Arsenal tidak menamatkan kempen musim ini dalam kelompok empat teratas, ia adalah satu kegagalan. Ia semudah itu.

"Harus diingat bahawa apabila anda bermain dan menguruskan kelab besar seperti Arsenal, sasaran anda adalah untuk menamatkan empat teratas.

"Saya tahu ia tidak mudah dengan saingan begitu banyak kelab seperti Manchester City, Chelsea, United, Liverpool, Tottenham, namun itu tidak penting kerana di penghujung musim anda perlu menamatkan sekurang-kurangnya dalam empat teratas.

"Arteta mempunyai skuad yang kuat dan mantap dengan Arsenal, jika Arteta tidak mencapai empat teratas, dia gagal," ujar Gallas.

Untuk rekod, Arteta memasuki musim ketiga bersama The Gunners menyaksikan lembaga pengarah kelab memberikannya dana yang besar untuk melabur dalam skuad.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Arteta diberikan peluang untuk membentuk imejnya bersama Arsenal dengan membuat beberapa keputusan besar seperti menyingkirkan Mesut Ozil dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Malah kemenangan The Gunners ke atas menentang Wolves minggu lalu secara tidak langsung membantu melebarkan jurang mata selepas pesaing terdekat West Ham United, Manchester United dan Tottenham Hotspur keciciran mata.

The Gunners kini empat mata di belakang Manchester United di tempat keempat, namun The Red Devils kurang tiga perlawanan akan melayan kunjungan Brentford pada Sabtu.