Agihan kerusi PN sudah muktamad: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KOTA TINGGI - Pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah dimuktamadkan, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata perkara itu berjaya diselesai tanpa sebarang perbalahan atau perselisihan faham antara parti gabungan berkenaan.

"Tiada pergaduhan dan kesemua 56 kerusi sudah selesai. Senarai calon yang akan dikemukakan juga sudah dimuktamad dan kita akan serahkan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi dan akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

"Ini memang langkah biasa yang kita lakukan untuk memastikan semua calon disemak," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PN Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta barisan kepimpinan tertinggi parti-parti komponen PN.

Pada majlis berkenaan bekas perdana menteri itu turut melancarkan lagu rasmi PN berjudul 'Kami Perikatan Nasional'.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon pada 26 Februari ini dan pengundian awal pada 8 Mac. - Bernama

Artikel Berkaitan: