Berkempen tidak perlu terlalu ekstrim

Mahdzir pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Johor di Labis di sini pada Jumaat.
Mahdzir pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Johor di Labis di sini pada Jumaat.
A
A
A

SEGAMAT - Pemimpin politik dinasihatkan agar tidak berkempen dengan terlalu ekstrim serta menjaga tutur kata walaupun bertujuan hanya untuk lebih menonjol.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan atau perkataan ketika berkempen tidak seharusnya terlalu beremosi serta mengenepikan budaya ketamadunan.

"Sebenarnya tiap daripada parti politik yang bertanding, masing-masing ada strategi dan ada proses media nak dikeluarkan. Jadi ada sesetengah daripada mereka ini kita lihat terlampau emosional dan ada juga kerana terlampau optimistik nak bertanding.

"Nasihat saya tidak perlu lah terlampau ekstrim mengeluarkan kenyataan, zaman sekarang ini proses peradaban bangsa dah tinggi. Semua dah dapat pendidikan, jadi tak payah nak maki hamun dalam media, tak perlu keterlaluan.

"Cakap benda apa yang kita nak buat, bagi rakyat buat penilaian, Barisan Nasional (BN) dah berikan sumbangannya dalam tempoh 60 tahun, jadi saya ingat penghakiman akhir nanti akan datang daripada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Johor di Labis di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan UMNO kini sudah bukan parti seperti dahulu dan telah 'koyak rabak' selepas kejatuhannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Bekas Perdana Menteri ke-8 itu turut mendakwa UMNO juga merupakan parti yang penuh dengan barah, rasuah dan salah guna kuasa.

Mengenai kenyataan itu, Mahdzir berpendapat seharusnya pemimpin itu lebih faham dengan situasi politik negara kerana pengalamannya dan tidak perlu menggunakan perkataan yang keterlaluan.

Artikel Berkaitan:

"Itu saya kata tidak perlu gunakan perkataan hodoh sangat, kita pun semua dah berumur jadi gunalah ayat dalam politik yang lebih sederhana.

"Kita kan semua masyarakat dah ada ketamadunan, dalam tamadun ni tak perlu nak guna bahasa-bahasa yang tak berapa cantik," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, proses pengagihan kerusi bagi parti komponen BN yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti sudah hampir dimuktamadkan.

"Kita dalam peringkat akhir untuk menentukan (pembahagian kerusi), ia kena bersesuaian dengan setempat la, Melaka kita guna cara Melaka, Johor ini ada cara dia.

"Sebab kita melihat pertandingan yang lebih besar, negeri ini tanding pun 56 kerusi, kalau banding dengan Melaka lain. Jadi sudah tentu ada kaedah dan cara-cara lain dalam keputusan," katanya.

END