Kerajaan digesa percepat bina rumah mangsa banjir di Puom, Jelebu

Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan berkenaan kepada wakil setiap daerah terlibat.
Aminuddin (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan berkenaan kepada wakil setiap daerah terlibat.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Persekutuan digesa untuk mempercepatkan pembinaan rumah penduduk yang terjejas banjir di Kampung Puom, Jelebu pada Disember lepas.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak lapan buah rumah dikenal pasti musnah dalam kejadian berkenaan.

"Kos pembinaan rumah bernilai RM56,000 seunit itu akan ditanggung oleh kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk membina infrastruktur bagi tujuan tersebut.

"Oleh demikian, kita berharap kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dapat menyegerakan pembinaan rumah berkenaan yang mana ketika ini penduduk terlibat menumpang di rumah saudara-mara dan ada juga yang menyewa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyerahan sumbangan barangan elektrik kepada mangsa banjir daripada SWM Environment Sdn Bhd (SWM Enviroment) di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment Sdn Bhd, Ho De Leong.

Media sebelum ini melaporkan,kerajaan Negeri Sembilan telah mengenal pasti tapak pembinaan rumah baharu bersesuaian di Kampung Puom, Jelebu untuk lapan keluarga yang kehilangan rumah akibat bencana banjir.

Kerajaan Persekutuan menyediakan kos RM56,000 bagi sebuah rumah manakala kerajaan negeri menyediakan tapak pembinaan rumah tersebut seperti diputuskan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel Berkaitan:

Mengenai program berkenaan, Aminuddin berkata, penyerahan sumbangan barangan elektrik itu merupakan usaha murni SWM Environment menyalurkan bantuan kepada 1,250 mangsa banjir yang memerlukan di negeri ini.

"Walaupun sumbangan agak lambat tetapi kerajaan negeri dan mangsa banjir mengucapkan terima kasih atas keprihatinan SWM Enviroment dalam membantu kerajaan negeri meringankan beban kepada masyarakat yang terkesan banjir," katanya.

Sementara itu, De Leong berkata, secara keseluruhan sebanyak RM750,000 diperuntukkan dalam misi bantuan pasca banjir pada kali ini melibatkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan sasaran penerima bantuan seramai 3,050 keluarga.

"Sebanyak 1,250 barangan keperluan elektrik asas seperti peti ais, periuk nasi serbaguna, kipas meja, pengisar makanan dan dapur gas akan disalurkan kepada semua keluarga mangsa banjir di Negeri Sembilan.

"Pihak syarikat turut menyumbang 250 buah mesin air tekanan tinggi (water jet) kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memudahkan mereka untuk membantu orang ramai sekiranya berlaku bencana banjir pada masa akan datang," katanya.