PRN Johor: Peniaga diingatkan jangan naikkan harga makanan

Rosol (kiri) melihat bekalan telur ketika Walkabout, kebersediaan barangan keperluan pengguna di kawasan luar bandar di Pasaraya BS Freshmart Bukit Goh di Lorong Padang Maju 2 di sini, pada Jumaat.
Rosol (kiri) melihat bekalan telur ketika Walkabout, kebersediaan barangan keperluan pengguna di kawasan luar bandar di Pasaraya BS Freshmart Bukit Goh di Lorong Padang Maju 2 di sini, pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga di Johor Bahru supaya tidak menaikkan harga makanan ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan di serata Johor akan dilakukan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang melampau.

Menurutnya, pengguna diminta membuat aduan sekiranya mengesan kenaikan harga mendadak bagi membolehkan siasatan dan tindakan segera diambil.

"Kita akui ada sebahagian peniaga yang mengambil kesempatan setiap kali PRN, jadi pengguna perlu menghantar aduan kepada pihak KPDNHEP, jika terdapat sebarang pencatutan.

"Bila adanya aduan ia memudahkan pegawai KPDNHEP untuk buat siasatan dan mengenakan kompaun sekiranya mendapati harga makanan atau barangan yang dikenakan kepada pengguna tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berakhirnya Walkabout, kebersediaan barangan keperluan pengguna di kawasan luar bandar di Pasaraya BS Freshmart Bukit Goh di Lorong Padang Maju 2 di sini pada Jumaat.

Beberapa hari lalu, terdapat pelbagai dakwaan berhubung kenaikan harga makanan yang mendadak disebabkan berlaku PRN di Johor.

Pengguna mendakwa trend kenaikan harga makanan berlaku setiap kali berdepan dengan musim pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut dakwaan itu, Rosol menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna untuk memperoleh keuntungan lebih sepanjang berlangsung PRN tersebut.

"Semua rakyat terjejas pendapatan mereka bukan sahaja disebabkan pandemik Covid-19, tetapi juga musibah banjir, jadi semua orang tengah susah. Kita sebagai Keluarga Malaysia patut sesama memahami antara satu sama lain," katanya.

Dalam pada itu, Rosol meminta peniaga luar bandar untuk tidak menaikkan harga barangan terutamanya keperluan harian termasuk ayam dan telur atas alasan kos logistik.

Katanya, beberapa aduan daripada pengguna diterima berhubung kenaikan harga ayam melampau membabitkan kawasan luar bandar.

“Kita sudah tetapkan harga kawalan bagi ayam adalah RM8.90 sekilogram untuk peruncit namun kita mendapat aduan ada segelintir pihak yang menjualnya sehingga RM11 sekilogram.

“Peniaga tidak boleh memberi alasan jauh daripada bandar dan kos pengangkutan lebih tinggi kerana harga kawalan yang ditetapkan selepas dibuat kajian terperinci termasuk kos pengangkutan,” katanya.