PRN Johor: SPR perlu lanjutkan tempoh daftar undi pos

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk melanjutkan tempoh pendaftaran undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memandangkan jumlah pengundi mendaftar dilaporkan rendah.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh sembilan hari yang diberikan amat singkat dan wajar dilanjutkan agar mereka yang layak dan berhak dapat mendaftar serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Tambah beliau, menurut satu laporan media, dianggarkan cuma satu peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari yang lalu.

“Dalam keadaan pandemik yang belum reda ini, proses demokrasi tidak harus ‘dikuarantin’ atau dijadikan mangsa kerenah birokrasi.

“Oleh itu, saya gesa pihak SPR untuk segera mengumumkan jumlah sebenar pengundi Johor yang telah mendaftar sebagai pengundi pos, mengikut negara di mana mereka berada,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SPR mempunyai peranan penting terutama dalam memastikan pengundi yang layak mengundi diberikan hak tersebut termasuk bagi yang berada di luar negara.

“Ini antara tugas hakiki SPR, demi memastikan proses demokratik berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: