Sindiket curi, jual alat ganti Proton Wira tumpas

Sindiket menyasarkan kenderaan jenis Proton Wira berikutan permintaan tinggi di pasaran untuk alat ganti kereta tersebut.
Sindiket menyasarkan kenderaan jenis Proton Wira berikutan permintaan tinggi di pasaran untuk alat ganti kereta tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan lelaki dan seorang wanita ditahan di sekitar Lembah Klang pada Selasa dalam Ops Lejang Wira kerana disyaki terbabit dengan sindiket curi kenderaan yang menyasarkan kereta jenis Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sindiket yang aktif sejak Disember lalu itu menggunakan kunci Allen khas untuk membuka pintu dan suis kenderaan terbabit.

Menurutnya, sindiket menyasarkan kenderaan jenis Proton Wira berikutan permintaan tinggi di pasaran untuk alat ganti kereta tersebut.

"Suspek bertindak mencuri kenderaan dan meleraikan komponen untuk dijual kepada individu yang berminat dan pemilik kedai alat ganti kenderaan yang dikenali di sekitar kawasan Gombak, Selangor.

"Manakala komponen seperti bateri kenderaan dijual di kedai barangan lusuh.

"Ada komponen itu akan dijual kepada kawan yang memiliki sebuah bengkel. Pemilik bengkel yang berusia 38 tahun itu dia akan jual barang curi ini di media sosial," katanya kepada media selepas program lawatan mesra Ketua Polis Daerah Sentul di Pasar Pagi, Taman Kok Doh, Segambut, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 38 tahun mempunyai rekod lampau manakala dalang sindiket yang berusia 33 tahun merupakan bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang baharu dibebaskan pada 2019.

"Hasil siasatan mendapati sindiket ini didalangi oleh lelaki warga tempatan yang menyasarkan kenderaan jenis Proton Wira dan 'mastermind' ini sudah aktif sejak tahun 2007 sudah biasa keluar masuk penjara,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Eng Lai berkata, pihak polis berjaya merampas empat buah Proton Wira yang dilaporkan hilang dianggarkan bernilai RM24,000 serta turut merampas sembilan buah telefon bimbit, kunci Proton (tiga), kad Touch N Go (dua), spanar T diubah suai (satu), kunci Allen diubahsuai (tiga), dan sebatang spanar saiz 10.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes kecurian kereta di sekitar Lembah Klang menerusi tangkapan tersebut.

Katanya, seorang suspek telah dituduh pada Rabu di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan gagal memberi keterangan.

"Seramai enam suspek utama di dalam kes ini masih lagi dalam tahanan reman bermula 10 Februari sehingga 17 Februari Manakala dua suspek telah diberikan jaminan dan dijadikan saksi polis," ujarnya.