Positif tapi belum cukup

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam (dua, kiri),Ahli Lembaga Pengarah MFL Datuk Saiful Mat Sapri (tiga, kiri), Pengurus Besar SEA dan Australia Luno, David Low (tiga, kanan) pada Majlis Perasmian Tajaan Luno bagi Liga-M di 1 Powerhouse pada Rabu. Turut sama Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang (kanan), Pengurus Pemasaran, Luno Malaysia, Scarlett Chai (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Komersial MFL, Winnie Chan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam (dua, kiri),Ahli Lembaga Pengarah MFL Datuk Saiful Mat Sapri (tiga, kiri), Pengurus Besar SEA dan Australia Luno, David Low (tiga, kanan) pada Majlis Perasmian Tajaan Luno bagi Liga-M di 1 Powerhouse pada Rabu. Turut sama Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang (kanan), Pengurus Pemasaran, Luno Malaysia, Scarlett Chai (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Komersial MFL, Winnie Chan.
A
A
A

TINDAKAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjalinkan kerjasama dengan syarikat bursa aset digital, Luno dilihat satu langkah baik dalam mempromosi dan meningkatkan imej bola sepak negara.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, kerjasama itu sebagai langkah positif MFL bagi menarik syarikat lain tampil sebagai rakan penaja.

Namun, Redzuan memberitahu, MFL bekerja lebih keras bagi mendapatkan dana dan penajaan untuk menampung kos penganjuran Liga-M yang terkesan akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Bagi saya, MFL telah membuat satu tindakan yang baik apabila menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat bursa aset digital (Luno) pada masa ini.

“Dalam situasi sekarang dengan sektor sukan turut terjejas disebabkan Covid-19, MFL sebagai badan pentadbir Liga-M harus bijak merebut peluang mendapatkan tajaan.

“Bagaimanapun, MFL masih mempunyai banyak kerja untuk mencari dana daripada pihak penaja. Kita perlu ingat, nak anjur liga (Liga-M) perlu kos yang tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam memaklumkan Luno menjadi rakan pelaburan kripto dan penaja bersama rasmi Liga Super serta Piala Malaysia musim ini dengan nilai tajaan berjumlah RM1 juta.

Perjanjian kerjasama selama setahun itu merangkumi pelbagai hak penjenamaan termasuk papan iklan di tepi padang, penggunaan logo kelab serta imej pemain dan pengaktifan jenama di stadium.

Artikel Berkaitan:

“Peruntukan RM1 juta itu boleh dianggap sebagai satu jumlah yang mampu diberikan oleh banyak pihak untuk bersama-sama menjadi rakan penaja saingan Liga-M.

“Berbeza dengan dahulu, tajaan kita mencecah puluhan juta. Penaja utama memberikan jumlah paling banyak, contohnya kita ada tajaan daripada syarikat rokok berjumlah RM12 juta.

“Selebihnya daripada syarikat lain dengan jumlah RM5 juta, RM3 juta dan sebagainya. Ikutkan jumlah tajaan pernah mencecah sehingga RM40 juta setahun,” ujar Redzuan.

Dalam pada itu, Redzuan berkata, MFL harus memperluaskan hubungan kerjasama dengan pemegang taruh bola sepak tempatan selain ‘orang luar’ seperti Luno.

“Dengan kerjasama antara MFL dan Luno, saya percaya ia akan membuka mata lebih banyak pihak yang tidak pernah terlibat dengan bola sepak sebelum ini untuk turut serta mengambil bahagian.

“Saya rasa lebih banyak tajaan akan dapat dibawa masuk apabila pihak-pihak yang berkenaan dapat melihat ‘keuntungan’ yang mereka bakal peroleh hasil penajaan dalam Liga-M,” jelas Redzuan.