Dilema takut dan menakutkan

Peningkatan kes positif Covid-19 sehingga melebihi angka 20,000 selama lima hari berturut-turut sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. - Gambar hiasan Bernama
Peningkatan kes positif Covid-19 sehingga melebihi angka 20,000 selama lima hari berturut-turut sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

PENINGKATAN kes positif Covid-19 sehingga melebihi angka 20,000 selama lima hari berturut-turut sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apatah lagi, amaran gelombang Omicron telah diumumkan pihak kerajaan sejak Januari lagi.

Amaran itu berdasarkan trend Omicron yang terlebih dahulu membadai beberapa negara lain pada hujung tahun 2021. Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis antara yang terawal menyaksikan peningkatan kes Omicron.

Korea Selatan dengan 90,000 kes sehari dan Australia dengan 87,000 kes sehari turut bergelut.

Bagaimanapun, dengan perisai vaksin diterima banyak penduduk dunia, ada negara yang telah menggunakan pendekatan berbeza.

Ada yang memendekkan tempoh kuarantin, ada yang telah membuka pintu sempadan dan ada yang yang sudah tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Denmark, contohnya pada 1 Februari lalu telah mengucapkan selamat tinggal kepada pelitup muka. Namun, di Malaysia, trauma tahun 2021 dengan berjuta kes Covid-19 dan ribuan kematian menyebabkan luka itu masih terasa.

Maka, tidak hairanlah pengumuman dan penyampaian berita jumlah kes positif yang tinggi di Malaysia dianggap sesetengah pihak seolah-olah cuba menakutkan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Walaupun sebahagiannya memang benar kerana pihak berkuasa mahu rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengambil suntikan vaksin tetapi ketakutan itu menyebabkan ramai turut memilih untuk kembali berkurung sahaja di rumah.

Apabila ramai yang takut dan berkurung, impaknya sudah tentu kepada ekonomi apabila kedai-kedai makan kembali kosong, kompleks beli-belah lengang dan lokasi percutian kembali sunyi.

Ada pengusaha kedai makan mengakui sejak dua minggu lalu, kedai mereka tidak meriah seperti beberapa bulan lalu. Ia dikatakan ada kaitan dengan ketakutan orang ramai untuk kembali keluar, hidup seperti biasa susulan kes melebihi angka 20,000.

Itulah dilema bukan sahaja dilalui kita, bahkan banyak negara lain dalam melawan Covid-19. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia hidup atau menormalkan Covid-19 seperti mana selesema? Jika ya, mungkin mesej menakutkan sudah boleh berubah kepada mesej-mesej memberi kesedaran.