Terima kasih warnai Aidilfitri kami dengan selokamu, Hail...

Allahyarham Hail Amir meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin.
Allahyarham Hail Amir meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

‘INDAHNYA sungguh di hari raya, ramainya orang bersuka ria. Adikku manis cantik bergaya, bolehkah abang ikut bersama...’Ia antara bait lagu dendangan Hail Amir bersama rakan duetnya, Uji Rashid.

Merak Jalanan masih ingat, tatkala mengira duit yang dihimpun dari rumah ke rumah serata kampung ketika berusia 7 tahun, lagu itulah yang menjadi halwa di telinga.

Hari raya Merak Jalanan menjadi lebih girang apabila jumlah duit raya yang dihimpun melebihi kutipan rakan-rakan lain.

Walaupun ada yang menghulurkan syiling 20 sen, Merak Jalanan tetap ambil dan masih tersengih kerana setidak-tidaknya ia menambahkan lagi jumlah yang dihimpun.

Merak Jalanan ingat lagi, pada tahun 1990-an, sambutan Aidilfitri bagi kanak-kanak juga masih klasik, mungkin kerana belum munculnya gajet atau internet.

Walaupun kanak-kanak ini bergerak dalam kumpulan berlainan, namun penyampaian informasi mengenai duit raya tidak sesekali tersasar. Pasti ada juga rumah yang menghulurkan duit dalam bentuk wang kertas RM1. Itu sudah dikira banyak!

Pada zaman ini, walaupun Aidilfitri masih diraikan, tapi budaya kanak-kanak mengelilingi kampung atau taman perumahan bagi mengutip duit raya sudah berkurangan.

Namun, berita pemergian Hail Amir atau nama penuhnya, Abdul Hail Amir, 77, kelmarin sedikit sebanyak menjentik kalbu Merak Jalanan yang sudah terbiasa dengan alunan muzik Seloka Hari Raya setiap kali menjelang Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Benar, lagu-lagu dendangan penyanyi lama seperti Allahyarham itu begitu dinanti-nanti setiap kali menjelang Aidilfitri.

Mendengar sahaja intro lagu tersebut sudah cukup menimbulkan aura di hari raya, apatah lagi bait-bait lirik yang mudah dihafal dan meniti di bibir.

Terima kasih kerana selokamu telah menceriakan hari raya Merak Jalanan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!