'Tolong lunaskan tunggakan RM11 juta'

Young Juwahir melahirkan kekesalan kerana masih belum menerima baki bayaran sehingga kini.
Young Juwahir melahirkan kekesalan kerana masih belum menerima baki bayaran sehingga kini.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah bertahun menanti, seorang kontraktor merayu agar kerajaan campur tangan dalam menjelaskan baki bayaran dua projek kerajaan yang dilaksanakannya sebelum ini, membabitkan bayaran kira-kira RM11 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zun Ze Development Sdn Bhd, Datuk Ir. Young Juwahir Mohd Idrus berkata, projek yang terlibat adalah pemasangan sistem keselamatan elektronik dan fizikal di Penjara Sungai Udang, Melaka dan Penjara Bintulu, Sarawak.

Menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja itu dilakukan syarikat Srimuda Electronic & Engineering (M) Sdn Bhd, yang mana ketika itu beliau merupakan Pengarah Urusan.

“Bagi projek di Penjara Sungai Udang, kerja-kerja reka bentuk telah bermula pada tahun 2004 lagi dan ia mula dibina pada 2007 serta siap pada pertengahan tahun 2010, yang mana syarikat saya adalah sub-kontraktor bagi projek ini.

“Apa yang dikesalkan adalah, kontraktor utama yang dilantik kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya membayar RM35 juta bagi kerja-kerja yang dilakukan dan masih berhutang berjumlah RM7.6 juta dan bayaran konsultasi sebanyak RM1.2 juta.

“Kontraktor utama bermain tarik tali sehingga saya kemudiannya membawa isu ini ke mahkamah dan menyelesaikannya di luar mahkamah dengan bayaran RM200,000.

“Saya menerima bayaran itu kerana JKR telah melepaskan kontraktor utama daripada segala tanggungjawab, membuat bayaran akhir dan memulangkan bon pelaksanaan projek sebanyak RM15.25 juta.

"Namun, jumlah itu jauh daripada kerugian yang saya tanggung, iaitu kira-kira RM8.8 juta,” katanya ketika ditemui di Pejabat Sinar Harian, di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Bagi projek pemasangan sistem keselamatan elektronik di Penjara Bintulu, Sarawak pula, projek itu dimulakan pada Mei 2009, bagaimanapun khidmatnya dihentikan pada Mac 2012 setelah wujud pertikaian berkenaan bayaran.

Syarikat Srimuda Electronic & Engineering (M) Sdn Bhd pada ketika itu adalah sub-kontraktor bagi projek berkenaan dan bayaran yang sepatutnya diterima bagi kerja-kerja yang telah dilaksanakan adalah RM11.23 juta.

Namun, bayaran yang diterima hanya sebanyak RM6.8 juta iaitu terdapat tunggakan sebanyak RM4.43 juta setelah pihaknya enggan menyerahkan anak-anak kunci Penjara Baru Bintulu tersebut.

“Bagaimanapun, setelah aduan dibuat kepada Kementerian Kewangan, kerajaan pada Ogos 2014 telah meluluskan bayaran sebanyak RM4.43 juta kepada kami melalui Kementerian Dalam Negeri dengan terma bayaran 50 peratus dibuat, setelah anak-anak kunci penjara diserahkan dan baki bayaran sebanyak RM2.215 juta dibuat setelah pihak JKR membuat penilaian.

“Namun, malangnya pihak JKR tidak memperakukannya dan sehingga kini, bayaran itu masih belum diterima.

“Saya hanya inginkan pembelaan dan minta kerajaan mengambil tindakan terhadap isu ini sebab masalah bayaran ini ‘sangkut’ terlalu lama dan syarikat saya berdepan dengan masalah kerana bayaran yang sepatutnya diterima, masih belum nampak ‘bayang’ sehingga kini,” jelasnya.