146,486 laporan pemantauan kualiti air minum sepanjang 2021

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kimia mengeluarkan 146,486 laporan pemantauan Program Pengawasan Kawalan Mutu Air Minuman Kebangsaan (KMAM) sepanjang tahun 2021 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, laporan yang dikeluarkan merangkumi analisis air mikrobiologi dan air kimia di mana keputusan itu perlu bagi memastikan air minuman yang dibekalkan kepada rakyat adalah selamat.

“Ia juga untuk memastikan air minuman tersebut bebas daripada penyakit bawaan air yang boleh membahayakan kesihatan dan kandungan bakteria serta kimia mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Laporan yang dikeluarkan penting untuk kerajaan khususnya KKM dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan orang ramai selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, inspektor kesihatan daripada KKM akan membuat persampelan mengikut prosedur yang telah ditetapkan di loji syarikat pembekal air di seluruh negara mengikut jadual.

Tambah beliau, laporan tersebut turut dimanfaatkan oleh beberapa syarikat pembekal air seperti Pengurusan Air Selangor, Syarikat Air Negeri Sembilan dan Syarikat Air Kelantan.

“Kerja-kerja analisa bagi kes pemantauan ini tetap diteruskan oleh Jabatan Kimia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 tahun lalu.

“Ini kerana analisa tersebut merupakan perkhidmatan perlu jabatan, demi menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, cawangan Petaling Jaya mengeluarkan laporan tertinggi dengan 34,101 diikuti Johor (22,282), Perak (15,702), Kuching (10,782), Sibu (9,740) dan Pahang (9,714).