MSC berlapang dada terima ahli gabungan PSM

Khairudin Es Abd Samad
Khairudin Es Abd Samad
A
A
A

ENTITI baharu sepak takraw tanah air, Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) berlapang dada untuk menerima ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyertai badan induk tersebut.

Menurut Presiden Jawatankuasa Penaja MSC, Datuk Seri Khairudin Es Abd Samad, pihaknya tidak meletakkan sebarang syarat kepada persatuan negeri yang berminat untuk menyertai entiti baharu tersebut.

"Kita tiada niat untuk bersaing dengan mana-mana persatuan, jika kami diterima oleh persatuan antarabangsa, itu akan menjadi titik permulaan sepak takraw Malaysia untuk terus maju pada masa depan,” katanya pada Selasa.

Khairudin yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Putrajaya berkata, pihaknya masih dalam proses bagi memastikan badan induk itu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Katanya, segala proses awalan penubuhan persatuan kini giat dilaksanakan sebelum permohonan untuk menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dibuat selepas tertubuhnya MSC pada 10 Februari lalu.

"Saya meletakkan semua keputusan kepada badan-badan antarabangsa untuk memutuskan dalam memilih badan induk yang akan mewakili Malaysia nanti,” katanya sambil memaklumkan MSC telah mendapat sijil perakuan pendaftaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 10 Februari.

Pada Mei tahun lalu, ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan bekas presiden badan induk itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari tahun lalu.

ASTAF melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Artikel Berkaitan:

Malah, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof baru-baru ini membayangkan hanya dengan mewujudkan entiti baharu berupaya menyelamatkan sukan sepak takraw negara daripada terus tercicir di peringkat antarabangsa selepas ASTAF menyatakan pendirian enggan lagi menerima PSM sebagai ahli gabungan kerana secara berterusan melanggar peraturan ditetapkan mereka.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, MSC akan mengadakan Mesyuarat Agung sulung badan induk itu pada Sabtu ini.

"Pada mesyuarat ini, kita akan meneruskan pemilihan ataupun menetapkan jawatankuasa induk kita yang sah selepas menerima sijil pendaftaran,” katanya.

Sebagai rekod, enam persatuan negeri di bawah MSC adalah Persatuan Sepak Takraw Selangor, Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya, Persatuan Sepak Takraw Sarawak, Persatuan Sepak Takraw Perlis, Persatuan Sepak Takraw Kedah dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.