Kesan PRN Johor amat besar kepada PRU15: Tun M

Surat Tun M kepada pengundi Johor yang dimuatnaik melalui Facebook rasminya pada Selasa
Surat Tun M kepada pengundi Johor yang dimuatnaik melalui Facebook rasminya pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan bahawa kesan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat besar dan tidak boleh diambil ringan.

Bekas perdana menteri dalam satu surat kepada pengundi Johor itu berkata, pendapat tersebut dinyatakan selepas melihat wujud dalam kalangan rakyat perasaan bahawa PRN Johor tidak memberi sebarang kesan tidak kira siapa yang berjaya menerajui negeri itu.

“Undi saudara dan saudari akan menentu parti mana akan menerajui kerajaan negeri Johor dan amatlah penting pilihan yang dibuat, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air,” katanya dalam surat yang dimuat naik melalui Facebook rasminya pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa bahawa PRN Johor telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO.

Menurutnya, tujuannya adalah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum PRU15.

“Perancangan mereka (UMNO) ialah apabila menang di Pilihan Raya Umum (PRU) nanti, mereka akan dapat menggunakan kedudukan untuk menyelesaikan kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.

“Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor.

“Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, rakyat Johor telah menolak calon-calon UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.

“Kali ini, mereka (UMNO) masih lagi mempertahankan kleptokrat. Kerana itu parti saya, Pejuang akan menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.

“Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka,” jelasnya.