Rakyat Johor mahu calon berintegriti

Mohd Azizuddin
Mohd Azizuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Johor mahukan calon yang berintegriti untuk diberikat mandat memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, faktor integriti calon berada di kedudukan teratas sebelum seseorang pengundi memilih siapa yang dikehendaki untuk membentuk kerajaan dalam PRN Johor nanti.

Menurutnya, siapa calon menteri besar yang akan diumumkan oleh semua parti juga menjadi antara faktor yang akan dinilai oleh pengundi.

"Rakyat Johor mahukan kerajaan berintegriti. Dalam konteks ini, nama yang dicalonkan sebagai menteri besar oleh semua parti akan menjadi perhatian pengundi Johor.

"Calon menteri besar bukanlah seorang yang hanya mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi juga seorang tokoh berintegriti, adil dan mampu mentadbir negeri Johor dengan terbaik. Saya rasa itu dimahukan oleh rakyat.

"Parti yang menyokong kepada integriti akan dapat sokongan terbanyak oleh pengundi dalam PRN kali ini," katanya dalam Program Kompas Rasuah Busters bertajuk Bangsa Johor, Pilihlah Calon Berintegriti yang disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian, pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Azizuddin melihat cabaran besar bakal dihadapi UMNO dalam PRN tersebut selepas beberapa pemimpin parti itu terpalit kes rasuah.

Namun, beliau menegaskan adalah tidak adil untuk mengaitkan segelintir pemimpin yang berhadapan kes rasuah dengan keseluruhan parti yang sekali gus memberikan kesan kepada imej parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tidak adil untuk pengundi menjatuhkan hukum bahawa kerana seorang terpalit dengan kes rasuah, maka parti itu keseluruhannya ambil rasuah. Biarkan mereka yang ada kes rasuah itu diadili dengan sistem perundangan. Saya rasa badan kehakiman kita adil untuk menilai kes-kes sebegini.

"Namun, UMNO sudah tentu perlu berhadapan dengan persepsi pengundi dan parti itu perlu memberikan hujah bagi memastikan persepsi tersebut dapat ditangkis sekali gus membersihkan imej UMNO," katanya.