8,120 guru baharu lapor diri 1 Mac ini

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara 'one-off' yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, calon-calon boleh mula membuat semakan penempatan bermula 1 Februari 2022.

“Pengambilan khas guru secara ‘one-off’ yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru ‘one-off’ dalam masa terdekat.

Jelasnya, ia amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“Insya-ALLAH KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu persatu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Mohd Radzi berkata, pengambilan itu juga akan mengisi kekosongan terkini guru di sekolah KPM.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan data sehingga 19 September 2021, terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah KPM di seluruh negara.

"Dengan mengambil kira pengambilan guru secara 'one-off' tersebut, bagi kekosongan 2,862 lagi akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pengurusan (SPP)

“Dari segi kriteria pemilihan beliau menjelaskan, keutamaan akan diberikan kepada graduan yang memiliki kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara untuk dilantik secara tetap,” katanya.