Muda menolak politik katak: Syed Saddiq

Syed Saddiq (kiri) pada sidang akhbar di Taman Eco Cascadia pada malam Isnin.
Syed Saddiq (kiri) pada sidang akhbar di Taman Eco Cascadia pada malam Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menolak mana-mana ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti dan ingin menyertai parti tersebut.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendirian Muda itu adalah selaras dengan cadangan yang diusulkan parti itu sebelum ini iaitu Akta Lompat Parti yang diharap dapat diluluskan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Muar itu mendakwa, amalan tersebut sebenarnya berlaku dalam UMNO hingga mengakibatkan beberapa kerajaan negeri jatuh.

"Ketua Penerangan UMNO yang cakap macam itu? Saya nak ingatkan kepada UMNO ya, yang dalam UMNO, mereka telah pun menjatuhkan beberapa kerajaan negeri melalui politik katak yang tidak ada pengakhirannya.

"Muda dari awal mencadangkan Akta Lompat Parti diusulkan dan diluluskan secepat mungkin, supaya politik katak ini dapat diperangi.

"Pada masa yang sama Muda telah menerima keahlian daripada pelbagai latar belakang, daripada kepimpinannya juga ada bekas pemimpin Pas, UMNO malah ada kawan baik Ketua Penerangan UMNO itu sendiri dan ada kawan-kawan daripada parti yang lain juga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan Amira Aisya Abd Aziz calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini pada malam Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mempersoal tindakan Muda kerana sebelum ini menjanjikan politik bersih dan menolak politik katak dalam parti itu.

Artikel Berkaitan:

Shahril berkata, ini berikutan lantikan Ahli Jawatankuasa Pusat Muda, Nurainiee Haziqah Shafii yang sebelum ini adalah calon Exco Wanita PKR Pusat 2018 dan Ahli jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2021.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, 92 peratus ahli Muda datang daripada mereka yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.

"Sekarang ini kita menggembleng tenaga rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, latar politik pun berbeza, muda dan yang tua untuk mengangkat politik khidmat, politik dasar dan politik nilai. Itu adalah keutamaan kami," katanya.