RUU Anti Lompat Parti mungkin dibentang Mac ini

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dikatakan sudah bersedia untuk membentangkan rang undang-undang menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti serta menetapkan had penggal bagi Perdana Menteri pada Mac ini.

Memetik laporan MalaysiaKini pada Jumaat, kerajaan akan mengadakan satu lagi taklimat dan perundingan mengenai kedua-dua perkara itu minggu depan.

Menurut sumber, ahli-ahli Parlimen telah dijemput menghadiri taklimat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 9 Febuari ini di Parlimen.

“Kami menjangka akan terlibat dalam perkara dasar berhubung Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan rang undang-undang untuk menghadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun.

"Kami juga mengharapkan untuk mendengar cadangan mengenai pindaan perlembagaan selanjutnya," katanya yang merupakan seorang ahli Parlimen.

Sesi pada 9 Febuari ini dipercayai yang kedua dilakukan selepas taklimat pada 22 Disember tahun lalu.

Undang-undang anti lompat parti dan had penggal bagi Perdana Menteri merupakan syarat yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).

Gesaan untuk undang-undang anti lompat parti mendapat sambutan selepas peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020, yang mengakibatkan pertukaran kerajaan Persekutuan dan beberapa pentadbiran negeri.

Artikel Berkaitan: