Polis Marin gagalkan cubaan seludup PATI

Shamsol menunjukkan gambar PATI yang ditahan oleh PPM Wilayah Satu sepanjang tahun ini.
Shamsol menunjukkan gambar PATI yang ditahan oleh PPM Wilayah Satu sepanjang tahun ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya menggagalkan beberapa cubaan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dengan menahan seramai 199 warga Indonesia termasuk 12 orang tekong pada tahun ini.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, kesemua tangkapan dibuat di perairan Sungai Buluh, Tanjung Karang dan Sungai Serdang, Selangor dengan kerjasama Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Bukit Aman.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 158 orang lelaki dan 42 perempuan ditahan selain polis merampas empat buah bot serta wang tunai keseluruhan bernilai RM900,000.

"Sepanjang tempoh dua bulan kita telah melancarkan beberapa siri operasi antaranya Op Landai, Op Gelora dan Op Khas Sempena Tahun Baharu Cina yang turut melibatkan intra agensi iaitu Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara.

"Hasil soal siasat awal terhadap migran, kita dapati bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah 4 hingga 5 juta rupiah (RM1,200 hingga RM1,500) yang dibayar kepada ejen untuk masuk secara haram ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Shamsol berkata, kesemua migran berusia di antara 21 hingga 45 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dijanjikan pekerjaan di sektor perladangan serta pembantu rumah di Malaysia.

Mengulas lanjut, Shamsol berkata, pihaknya mendapati sindiket penyeludupan migran itu dipercayai menggunakan laluan tikus yang jauh daripada pengawasan pasukan penguat kuasa selain bergerak pada waktu malam bagi mengelak daripada dikesan.

"Mereka akan menaiki bot nelayan dengan jumlah penumpang yang melebihi kapasiti dan padat selain akan mendarat di perairan negara pada lewat malam atau awal pagi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, dengan kecekapan risikan anggota kita akhirnya berjaya menggagalkan cubaan mereka menyeludup migran ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Shamsol berkata, sepanjang tempoh dua bulan tahun ini pihaknya juga telah berjaya membuat tangkapan dan rampasan rokok serta minuman keras tanpa cukai di bawah Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM3.262 juta.

Katanya, sebanyak 2.287 juta batang rokok putih bernilai RM3.027 juta dan 4,227 liter minuman keras bernilai RM9,087 turut dirampas selain beberapa buah kenderaan dan bot.

Selain itu, beliau berkata, sepanjang musim perayaan baru-baru ini pihaknya turut membuat pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap bot-bot yang menjalankan aktiviti membawa penumpang di sekitar perairan Langkawi, Perak, Pulau Pinang dan Selangor dengan menahan 39 buah bot atas pelbagai kesalahan.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 52 buah bot pukat tunda ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

"PPM Wilayah Satu akan mempertingkatkan operasi di perairan negara bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa.

"Justeru kita turut memerlukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah maritim dan rentas sempadan dengan menghubungi PPM di talian 04-6558222," katanya.