Amira Aisya calon Muda di DUN Puteri Wangsa

Amira Aisya Abd Aziz
Amira Aisya Abd Aziz
A
A
A

JOHOR BAHRU - [[DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz diumumkan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengumuman calon pertama mewakili Muda itu dibuat Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis khas di Taman Eco Cascadia di sini pada malam Isnin.

Amira Aisya, 27, berkata, pencalonannya selaras dengan usaha parti itu untuk menampilkan pimpinan yang muda, aktif dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Johor.

"Muda merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan pimpinan pembangkang yang sentiasa menyokong iltizam politik Muda untuk negara.

"Fokus Muda adalah untuk memastikan negeri Johor bangkit sebagai sebuah negeri yang maju dan berjaya," katanya.

Syed Saddiq (berdiri, kiri) ketika mengumumkan Amira Aisya sebagai calon Muda bagi DUN Puteri Wangsa pada Isnin.
Syed Saddiq (berdiri, kiri) ketika mengumumkan Amira Aisya sebagai calon Muda bagi DUN Puteri Wangsa pada Isnin.

Amira Aisya merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini dan mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah di Sultan Ibrahim Girls School.

Beliau kemudian meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Undang-Undang.

Artikel Berkaitan:

Amira Aisya merupakan seorang ahli Johor Student Leaders Council (JSLC) sewaktu berusia 16 tahun dan kemudian menjadi seorang perancang strategik dan panel penasihat di Johor Student leaders Council Alumni (JSLCA) ketika berumur 18 tahun.

Pada tahun yang sama, Amira Aisya juga merupakan ahli termuda dalam Majlis Mesyuarat Perunding dan Penasihat Undang-Undang Kanak-Kanak Kebangsaan.

Sepanjang di JSLCA, Amira Aisya telah melatih lebih 10,000 pemimpin pelajar di seluruh Johor dan merupakan Pengarah Model United Nations Johor ke tiga buah negara.

Beliau juga menjayakan Model United Nations pertama di Johor untuk pelajar-pelajar sekolah harian dan pernah dilantik menjadi jurulatih kepimpinan untuk Program Duta Jauhar 3.0, sebuah program keusahawanan sosial untuk mahasiswa-mahasiswa Johor.