Proses senaraikan calon PRN Johor rumit: Anwar

Anwar (tengah) pada Majlis Pengumuman Calon PKR Zon Selatan bagi PRN Johor di sebuah hotel di Johor Bahru pada Isnin.
Anwar (tengah) pada Majlis Pengumuman Calon PKR Zon Selatan bagi PRN Johor di sebuah hotel di Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Proses menyenaraikan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini disifatkan cukup rumit.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan calon perlu dipastikan benar-benar layak menepati kehendak pengundi dan akar umbi.

Beliau turut mengakui terdapat masalah bagi menentukan calon selain perlu berunding dengan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

"Nak tanding 20 kerusi, yang layak ada 2,000 dan yang mengharap 20,000 calon. Namun sampai masa kita terpaksa sempurnakan tugas, umumkan bakal calon bagi PRN Johor yang telah disenaraikan.

"Walaupun proses senarai calon PRN Johor agak rumit, tetapi kita berjaya memutuskan nama calon jauh lebih awal," katanya ketika berucap pada pengumuman lima calon PKR Zon Selatan di sebuah hotel di bandar raya ini pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, PKR mengambil langkah mengumumkan calon lebih awal agar jentera parti dapat memulakan gerak kerja bagi berdepan PRN Johor.

"Apabila dah dapat calon. Masalah nak umum pula. Umum awal akan timbulkan masalah tuntutan, namun jika umum (calon) lambat, kempen menjadi terlalu terbatas dan suntuk, lebih-lebih lagi dalam keadaan Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak memihak kepada kita.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, dalam mengambil kira pertimbangan ini, ada masalah diumum awal dan lambat, kita berpendapat lebih baik umum awal supaya jentera boleh mulakan gerak kerja awal," katanya.

Seramai lima calon PKR diumumkan pada majlis itu dengan muka baharu iaitu Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan, 42, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

Dua lagi muka baharu, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim, 34, (DUN Pasir Raja) dan Arthur Chiong Sen Sern, 32, (Bukit Batu).

Dr Zamil Najwah Arbain, 48, yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu ditampilkan semula sebagai calon DUN Larkin manakala penyandang kerusi DUN Tiram, S Gopalakrishnan turut ditampilkan semula.