Calon PKR berazam bawa suara pengundi

Gambar dari kiri: Fakhrudddin, Dr Zamil, Napsiah
Gambar dari kiri: Fakhrudddin, Dr Zamil, Napsiah
A
A
A

JOHOR BAHRU- Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fakhruddin Moslim, 34, akan memberi tumpuan kehendak anak muda khususnya dalam bidang pekerjaan dan ekonomi yang lebih baik.

Beliau yang merupakan calon bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkata menjadi tanggungjawab untuknya membangunkan golongan belia yang mahukan perubahan.

"DUN Pasir Raja yang terletak dalam Parlimen Tenggara mempunyai banyak kawasan Felda antara Felda Bukit Ramun dan Felda Sungai Sayong.

"Saya lihat suara anak muda terutama generasi Felda ini sebagai cabaran. Pencalonan saya ini membolehkan saya membawa lebih banyak suara anak muda selain isu ekonomi dan peluang pekerjaan," katanya.

Fakhrudddin yang berasal dari Felda Air Tawar 5 Kota Tinggi merupakan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor.

Sementara itu bagi Ketua Wanita Keadilan Johor, Napsiah Khamis Maharan, 42, bertanding di kerusi DUN Kempas berjanji akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti pada PRN Johor.

"Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu Kempas, kita menang dengan lambang PKR digunakan ketika itu, jadi kita mahu ia kekal.

"Setakat ini kita nampak penerimaan itu positif, tetapi dengan pelbagai isu seperti Covid-19 dan sebagainya, kita tidak dapat berjumpa pengundi, tetapi kita akan cuba sebaik mungkin (berkempen untuk tarik pengundi).

Artikel Berkaitan:

"Walaupun maklum balas kita terima positif, tetapi tidak boleh terlalu yakin, usaha perlu ada," katanya yang pertama kali bertanding.

Napsiah yang sudah 23 tahun aktif berpolitik bersama PKR mahu mengutamakan isu tempatan seperti harga barang dan peniaga-peniaga kecil dalam manifestonya.

"Kita akan lihat balik isu-isu tempatan seperti harga barang, isu peniaga kecil dan semua itu akan kita maklumkan kemudian," katanya.

Seterusnya bagi calon kerusi DUN Larkin, Dr Zamil Najwah Arbain, 48, yakin mampu menggalas amanah dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai fokus utamanya.

Dr Zamil Najwah berkata, DUN Larkin yang mempunyai majoriti masyarakat Melayu dilihat masih dibelenggu isu tanah yang memerlukan perhatian serius kerajaan.

"DUN Larkin merupakan kawasan bandar didiami majoriti masyarakat Melayu selain Cina dan India yang kebanyakan merupakan golongan kelas pertengahan.

"Saya diberitahu banyak isu tanah kerana Larkin ini bandar lama di Johor Bahru. Difahamkan tempoh pajakan tanah di situ akan tamat dan isu memerlukan penyelesaian segera daripada kerajaan negeri," katanya.

Pada Isnin, lima calon PKR diumumkan akan bertanding pada PRN Johor bagi kawasan Johor Selatan dalam sebuah majlis di sebuah hotel di bandar raya ini.

Pengumuman itu dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.