Kedah negeri rujukan wujud kestabilan politik

Mohd Azam
Mohd Azam
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dibentuk hasil gabungan bersama Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO boleh menjadi rujukan kepada usaha mewujudkan kestabilan politik seperti sering diperkatakan.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, kesediaan itu diterjemahkan secara konsensus dan rundingan hinggakan jawatan di semua peringkat diagihkan secara adil dan harmoni.

Menurutnya, rakyat sudah muak dengan permainan politik berterusan sebelum ini yang telah merugikan negara.

"Walaupun UMNO hanya memiliki dua kerusi mewakili Barisan Nasional di Kedah, tetapi jumlah sedikit ini tidak pernah diperkecilkan.

"Seorang daripadanya dilantik menjadi Exco negeri, selain agihan turut diberi dalam jawatan di peringkat Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung/Komuniti (JPKK)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, keterbukaan tersebut adalah bukti ketelusan kerjasama yang mana telah membantu Kedah dipacu pembangunannya dan kesejahteraan ke atas rakyatnya tanpa ada hiruk-pikuk politik.

Menurutnya, perkara tersebut seharusnya menjasi model untuk negeri-negeri lain mewujudkan muafakat dan perikatan yang sama.

"Tidak perlu ada pihak cuba meracuni dan mengadu-domba secara salah. Pengalaman kekalahan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan kerisauan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) perlu dijadikan iktibar untuk semua," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kestabilan politik negara hanya dapat diwujudkan dengan kesatuan antara semua pihak tanpa ada sikap untuk mendominasi atau menguasai kebersamaan selepas kerjasama dimeterai.

Mohd Azam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau berkata, perkara tersebut yang ditegaskan Muhammad Sanusi ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai, Johor Bahru pada Sabtu.

Menurutnya, Muhammad Sanusi menjelaskan permuafakatan politik yang telah terjalin dalam kerajaan hari ini perlu diperkukuhkan lagi selepas PH tumbang akibat perpecahan kerana dominasi DAP dalam kerajaan yang dibentuk mereka.

"Pemimpin hari ini perlu lebih fokus bekerja dan menyelesaikan permasalahan rakyat, dengan mandat diberikan sehingga tamat penggal.

"Bukan menimbulkan keresahan dan suasana politik tegang dengan isytihar Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bertanding bersendirian meninggalkan rakan," ujarnya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan UMNO Bahagian Merbok meminta UMNO Kedah menilai semula hubungan bersama Pas yang dilihat sombong susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang menyatakan bahawa kestabilan politik boleh dicapai jika UMNO tidak lagi memerintah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!