Pembantu restoran disyaki bunuh wanita warga Somalia diberkas

Mayat wanita warga Somalia dibawa ke hospital berhampiran untik dibedah siasat.
Mayat wanita warga Somalia dibawa ke hospital berhampiran untik dibedah siasat.
A
A
A

AMPANG - Seorang pembantu restoran diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang wanita warga Somalia di hadapan sebuah kedai Jalan Memanda 2 di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seorang lelaki warga Iraq yang juga memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) itu ditahan di tepi jalan Ampang Putra di sini pada jam 11.20 malam.

"Kita turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya percaya dengan tertangkapnya suspek berkenaan, kes itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

"Suspek berusia 25 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan seorang wanita warga Somalia ditemukan maut dipercayai dibunuh seorang lelaki di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2 di sini.

Terdahulu wanita terbabit disyaki bertengkar dengan seorang lelaki sebelum ditikam dengan objek tajam di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!