Wanita warga asing maut dibunuh

Wanita warga asing ditemui maut disyaki dibunuh di Jalan Memanda 2 pada Ahad.
Wanita warga asing ditemui maut disyaki dibunuh di Jalan Memanda 2 pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita warga Afrika ditemukan maut dipercayai dibunuh seorang lelaki di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2 di sini pada Ahad.

Wanita terbabit sebelum itu disyaki bertengkar dengan seorang lelaki sebelum ditikam dengan objek tajam di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis pada awalnya menerima panggilan berkaitan kes ragut pada jam 12.12 tengah hari.

Menurut beliau, Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Ampang memaklumkan ada kejadian ragut dan memerlukan bantuan polis di lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati mangsa seorang wanita warga asing terbaring dalam keadaan mengiring dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan bertugas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek terbabit.

"Pada masa ini, kita sedang mendapatkan maklumat daripada saksi terutama orang awam yang melihat kejadian berkenaan.

"Maklumat awal yang diterima berkemungkinan kes ragut namun siasatan awal serta berdasarkan saksi awam mendakwa mungkin berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03 - 42897222," katanya.