33 bayi positif Covid-19 di Sabah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kes jangkitan Covid-19 pada Ahad direkodkan tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Sabah iaitu 518 kes dengan 33 kes daripadanya melibatkan bayi, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, sebanyak 156 kes melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun manakala 329 kes lagi membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun dengan kesemua mereka masih belum menerima vaksin Covid-19.

"Amatlah dianjurkan agar para ibu bapa dan pengurusan sekolah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas anak-anak kecil apatah lagi mereka yang belum layak diberi vaksin,” katanya menerusi kenyataan malam Ahad.

Dalam pada itu, Masidi berkata, lima daerah mencatat kes tertinggi hari ini iaitu Kota Kinabalu dengan 914 kes, Sandakan (478), Tuaran (414), Penampang (389) dan Papar (256).

Beliau berkata, kes jangkitan secara sporadik dikesan menerusi saringan bergejala menjadi faktor dan penentu utama jumlah kes di daerah-daerah yang mencatat kes harian yang tinggi dengan 58.52 peratus daripada kes hari ini dikesan menerusi saringan tersebut.

"Kita boleh rumuskan bahawa peratusan jangkitan secara sporadik yang tinggi adalah penyebab kepada perebakan virus yang begitu cepat dan meluas serta akan menjadi faktor penentu kepada jumlah kes baharu dalam masa terdekat,” katanya.

Masidi berkata, 3,891 kes Covid-19 dengan lima kes kematian akibat pandemik itu direkodkan hari ini manakala 620 orang sembuh dan 2,776 pesakit sedang menerima rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: