Jawatankuasa khas pantau sampel ikan, kualiti air Sungai Kim Kim

Sungai Kim Kim - Foto Bernama
Sungai Kim Kim - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat Perikanan Negeri Johor (PPN Johor) menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas bagi menyiasat dan memantau sampel dan parameter kualiti air bagi ternakan kupang dan ikan dalam sangkar di sekitar Pasir Gudang susulan pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata sampel ikan dihantar ke makmal Jabatan Perikanan atau makmal swasta untuk analisis secara terperinci bagi menentukan sama ada sumber ikan di kawasan itu adalah selamat untuk dimakan ataupun sebaliknya.

"Hasil analisa tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengenai video ratusan ikan mati kononnya akibat pencemaran sungai di Pasir Gudang yang tular di media sosial, beliau berkata pemantauan di kawasan ternakan ikan dan kupang di kawasan itu mendapati tiada laporan kematian ternakan setakat ini.

"PPN Johor menegaskan bahawa ia adalah berita palsu dan tiada insiden seperti digambarkan dalam video berkenaan berlaku di Sungai Kim-Kim, Kong-Kong atau mana-mana kawasan Pasir Gudang," katanya.

Munir berkata sejurus selepas insiden tersebut pada 7 Mac lepas, PPN Johor telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Negeri Johor serta menghantar sampel ikan bagi siasatan kualiti air yang mungkin terkesan daripada sisa buangan Sungai Kim Kim.

"Pihak JAS telah mengambil tindakan segera dengan menghalang aliran bahan kimia menggunakan 'oil boom'.

Menurut Munir, laporan awal dari Jabatan Kimia mendapati sampel air terkesan mengandungi metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, ethyl benzene, aldrich toluene, xylene dan limonene.

Artikel Berkaitan:

Katanya terdapat lapan pangkalan nelayan berhampiran kawasan pencemaran bahan kimia tersebut melibatkan seramai 342 nelayan dan 181 penternak di sekitar Teluk Kabung dan Kampung Perigi Acheh.- Bernama