271 usahawan terjejas Covid-19 terima pembiayaan PUNB

Ahmad Maslan (tengah) dan Ahmad Nazlan (dua dari kiri) bersama penerima-penerima pembiayaan 'SUCCESS PUNB' pada Program Taklimat dan Sesi Dialog PUNB Bersama Usahawan Pontian di Dewan Kompleks Muafakat, Benut Pontian pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad Maslan (tengah) dan Ahmad Nazlan (dua dari kiri) bersama penerima-penerima pembiayaan 'SUCCESS PUNB' pada Program Taklimat dan Sesi Dialog PUNB Bersama Usahawan Pontian di Dewan Kompleks Muafakat, Benut Pontian pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Seramai 271 usahawan terkesan akibat Covid-19 di seluruh negara telah menerima pembiayaan berjumlah RM70 juta menerusi Skim Pecutan Mampan (SUCCESS) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sejak November lepas.

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pembiayaan tersebut ditawarkan khusus kepada Rakan Usahawan PUNB sedia ada bagi memastikan kelestarian usahawan mendepani cabaran Covid-19 dalam fasa pemulihan negara.

Katanya, PUNB telah mengambil langkah strategik untuk meningkatkan struktur pembiayaan SUCCESS, yang menawarkan pembiayaan daripada RM100,000 hingga maksimum RM1 juta.

Katanya, PUNB turut mengambil inisiatif untuk memendekkan tempoh kelulusan pembiayaan di bawah RM300,000 dalam tempoh dua minggu sahaja mengikut syarat yang telah ditetapkan.

"Insya-ALLAH, kita akan cuba sebaik mungkin dan secepat mungkin. Kita tidak mahu tempoh terlalu lama.

Bagi pembiayaan RM300,000 ke atas, kita dalam proses untuk memendekkan lagi supaya usahawan tidak tunggu lama apabila memohon pinjaman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat dan dialog PUNB dengan usahawan di sini pada Ahad.

Turut hadir Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Nazlan berkata, seramai 40 usahawan di Johor telah menerima pembiayaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM9 juta melalui skim itu setakat Ahad.- Bernama