Pengakuan sumpah, kenyataan gangguan seksual berbaur fitnah: Rasman

Rasman
Rasman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menyifatkan pengakuan sumpah dilakukan seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh dirinya adalah berbaur fitnah.

Rasman berkata, pengakuan sumpah dan kenyataan yang dikeluarkan wanita berkenaan bersama ibunya iaitu Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi pada Sabtu itu juga boleh membuka ruang bagi tuduhan rambang untuk mencemarkan nama beliau.

“Melalui kenyataan media dibuat oleh Bekas Ketua Srikandi Bersatu Bahagian dan anaknya itu, mereka turut menyatakan tuduhan terhadap saya secara terbuka.

“Malah terdapat kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Tindakan ini bukan sahaja membuka ruang untuk tuduhan rambang terus dihalakan kepada saya oleh pelbagai pihak lain.

“Tetapi dengan jelas merupakan satu usaha mencemarkan nama saya sedangkan polis masih lagi menyiasat kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita tampil membuat pengakuan bersumpah mendakwa diganggu secara

seksual
melibatkan Rasman bagi mengukuhkan dakwaan polis yang dilakukannya sebelum ini.

Wanita dikenali Nur Syafiqah Badsulhisham, 27, berkata, perkara itu mahu dizahirkan kerana dia dan keluarga masih dibelenggu dengan kejadian berkenaan selain dituduh sengaja menimbulkan provokasi.

Sementara itu, Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, beliau mengambil pendekatan untuk berdiam diri selama ini kerana telah dinasihati peguamnya untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen lanjut kerana kes sedang disiasat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara itu disebabkan oleh siasatan yang masih berjalan dan sebarang kenyataan atau spekulasi (sekiranya dibuat) berpotensi untuk memprejudiskan dan memberi kesan terhadap hasil siasatan.

“Saya juga telah memberi kerjasama dan komitmen penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh siasatan kes ini.

“Sekiranya terdapat apa tindakan atau komen daripada Bekas Ketua Srikandi Bersatu Bahagian tersebut dan anaknya yang pada bila-bila masa boleh menjadi satu bentuk gangguan kepada siasatan tersebut, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.