'AMK tidak kecil hati, PKR tawar tiga kerusi kepada Muda'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor tidak berkecil hati dengan tindakan pucuk pimpinan parti itu yang menawarkan tiga kerusi kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Ketua AMK Selangor, Chua Wei Kiat berkata, pihaknya menghormati keputusan pimpinan negeri dan pusat berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, keputusan tersebut juga dipersetujui oleh Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang turut menawarkan kerusi kepada parti baharu itu

"AMK Selangor tiada masalah dengan tiga kerusi yang ditawar kepada Muda oleh Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, sebaliknya kita berbesar hati.

"Saya rasa adil bagi peluang kepada mereka untuk membuktikan kekuatan mereka di kerusi-kerusi tertentu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, langkah tersebut menunjukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mementingkan penglibatan anak muda dalam politik.

" PKR sendiri mempunyai calon-calon muda dalam pilihan raya negeri.

"Cuma saya nak nasihat Muda kena mula rajin bergerak di lapangan kerana ramai yang masih tidak kenal parti tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, AMK akan membantu kempen PRN Johor dengan memberi lebih tumpuan kepada kerusi-kerusi yang ditandingi PKR.

"Kita juga akan memberi sokongan kepada rakan-rakan pembangkang yang bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Pada Rabu, PKR Johor menawarkan tiga kerusi kepada Muda untuk PRN Johor.

Muda diperuntukkan enam kerusi hasil rundingan bersama Amanah dan DAP melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.