UiTM, UMK cipta sejarah IPTA pertama wujud program akademik dwi ijazah

Dr Roziah (tiga dari kiri) dan Dr Nik Maheran (dua dari kanan) bertukar MoA ditandatangani antara UiTM dan UMK di sebuah hotel di Kota Bharu pada Ahad.
Dr Roziah (tiga dari kiri) dan Dr Nik Maheran (dua dari kanan) bertukar MoA ditandatangani antara UiTM dan UMK di sebuah hotel di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencipta sejarah dengan mewujudkan program akademik dwi ijazah yang pertama antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, program berkenaan adalah menggabungkan dua program ijazah sarjana muda daripada kedua-dua IPTA tersebut.

“Program yang terlibat adalah Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik di UITM dan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Lojistik dan Perniagaan Pengedaran) dengan Kepujian daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan di UMK.

“Kedua-dua program ijazah sarjana muda itu memperoleh status akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan digabungkan menjadi program akademik dwi ijazah yang pertama membabitkan IPTA di negara ini,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM dan UMK di sebuah hotel di sini pada Ahad.

MoA berkenaan ditandatangani Dr Roziah yang mewakili UiTM dan UMK diwakili oleh Menjalankan Fungsi Naib Canselornya, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad.

Dr Roziah berkata, program itu bakal menghasilkan graduan yang holistik dan berketerampilan dalam memenuhi keperluan guna tenaga di Malaysia menerusi penyediaan peluang bagi pelajar mendalami kedua-dua bidang.

“Kemasukan penuntut program akademik dwi ijazah dilakukan menerusi saluran kedua-dua universiti dan akan menjalani tempoh pengajian minimum sembilan semester atau empat hingga lima tahun dengan jumlah 179 jam kredit.

“Program dapat meningkatkan kemahiran analitik, menjadikan graduan lebih berdaya saing, berkebolehan dan mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi berbanding graduan satu ijazah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Prof Dr Nik Maheran berkata, MOA itu adalah kesinambungan Memorandum Persefahaman (MoU) pada April 2018 sebelum ini yang memberikan impak besar kepada penghasilan kebolehpasaran graduan yang tinggi kepada kedua-dua universiti berkenaan.

“Kerjasama UMK bersama UiTM yang merupakan sebuah IPTA ulung bumiputera adalah bertepatan dengan permulaan seramai lima penuntut perintis yang menjalani pengajian ketika ini.

“Pengambilan kedua disasarkan seramai 50 penuntut bagi kedua-dua universiti dan program ini dijangka menjadi penanda aras kepada lebih banyak kerjasama program dwi sarjana muda terjalin antara universiti,” katanya.