Sukan SEA: Virandeep cipta sejarah bantu tewaskan Indonesia

Skuad kriket lelaki negara menentang Indonesia dalam aksi pembukaan Kumpulan A acara T20 sempena Sukan SEA Kemboja 2023 di AZ Group Cricket Oval pada Selasa. - Foto Bernama
Skuad kriket lelaki negara menentang Indonesia dalam aksi pembukaan Kumpulan A acara T20 sempena Sukan SEA Kemboja 2023 di AZ Group Cricket Oval pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN kriket negara, Virandeep Singh melakar kejayaan menakjubkan apabila menjadi pemain pertama mencapai lebih 100 larian dalam format T20 antarabangsa ketika membantu Malaysia menewaskan Indonesia pada Sukan SEA 2023 di sini pada Selasa.

Pada aksi pembukaan Kumpulan A hari ini, Virandeep mencatatkan 116 larian untuk membantu pasukan negara membuka kempen temasya dwitahunan itu dengan cemerlang menewaskan Indonesia dengan 94 larian.

Beliau mengakui tidak menjangkakan mampu melepasi lebih 100 larian dalam acara yang berlangsung di AZ Group Kriket Oval itu.

"Tahun ini saya hampir beberapa kali mencapai 100 larian iaitu mencatat 96 larian ketika menentang Bahrain dan 94 larian ketika menentang Oman.

"Saya sentiasa mahu menyumbang untuk Malaysia. Permulaan yang cemerlang untuk Malaysia dan saya di Kemboja ini. Saya harap mampu mencatat lebih daripada 100 larian pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu, kapten skuad kriket negara Ahmad Faiz Mohamad Noor melahirkan rasa syukur dengan kemenangan menentang Indonesia dan berbangga atas pencapaian Virandeep hari ini.

"Sebagai seorang pemukul pencapaian Virandeep memang hebat dan kami amat bangga dengan keputusan ini,” katanya.

Malaysia seterusnya dijadual bertemu Thailand pada perlawanan Kumpulan A Khamis ini (4 Mei). - Bernama